Hadirnya tanpa kusedari Menggamit kasih cinta bersemi Hadir cinta insan padaku ini Anugerah kurniaan Ilahi Lembut tutur bicaranya Menarik hatiku untuk mendekatinya Kesopanannya memikat di hati Mendamaikan jiwaku yang resah ini Ya Allah Jika dia benar untukku Dekatkanlah hatinya dengan hatiku Jika dia bukan milikku Damaikanlah hatiku Dengan ketentuan-Mu Dialah permata yang dicari Selama ini baru kutemui Tapi ku tak pasti rencana Ilahi Apakah dia kan kumiliki Tidak sekali dinodai nafsu Akan kubatasi dengan syariat-Mu Jika dirinya bukan untukku Redha hatiku dengan ketentuan-Mu Ya Allah Engkaulah tempat kubergantung harapanku Kuharap diriku sentiasa di bawah rahmat-Mu

Monday, December 16, 2013

~kisah tabika kemas~


4
Kisah ‘Tabika kemas’

Dulu.. sejak dari abang sulung sampailah ke adik kami memasuki tabika kemas. Tiada seorang pun di antara kami yang memasuki pra sekolah. Kesemua kami adik beradik memasuki tabika kemas yang sama dan di ajar oleh cikgu yang sama. Biarlah aku namakan cikgu itu sebagai cikgu Halimaton sahaja. Cikgu Halimaton merupakan seorang cikgu yang baik dan penyayang. Seingat aku uniform tabika aku dulu berwarna merah dan rasanya sekarang sudah bertukar warna biru. Tukang masak bagi tabika kemas itu bernama Che Mah (bukan nama sebenar). Aku tidak pasti di mana cikgu Halimaton sekarang. Semoga cikgu berada dalam keadaan sihat. Che mah merupakan isteri kepada bilal masjid kampung aku, orang memanggilnya pak Yob. Tabika aku cuma bersebelahan dengan masjid. Aku masih ingat lagi permainan-permainan yang terdapat di belakang masjid ketika itu. Tempat itulah menjadi permainan kami budak-budak tabika sewaktu rehat. Antara permainan yang terdapat di situ ialah papan jongket, besi sarang lelabah dan papan gelongsor. Tidak banyak yang aku ingat sewaktu aku tabika dulu. Tetapi satu kisah, satu peristiwa yang aku tidak akan lupa selama-lamanya ialah kisah di marahi cikgu sehingga aku takut untuk ke kelas tabika. Kisahnya begini…
Imbas kembali
Pada satu minggu di tabika, cikgu Halimaton bercuti dan digantikan dengan seorang cikgu yang lain. Aku tidak ingat apa nama dan rupa cikgu itu. Sesungguhnya cikgu itulah telah meninggalkan kisah hitam ini dalam hidupku. Namun sesekali aku tidak pernah mendendami beliau. Sebenarnya aku seorang yang sensitif. Aku mudah tersinggung apabila dimarahi. Pada suatu hari cikgu ganti itu telah memarahi aku. Aku tidak pasti apa sebab sebenar kejadian itu. Kejadian itu menyebabkan aku takut mahu ke kelas. Aku menjadi fobia sementara. Kisah itu tidak berakhir di situ. Apabila aku fobia ke kelas aku telah ponteng kelas beberapa hari. Perkara ini diketahui oleh abah. Pada masa itu abah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di Tikam Batu. Pada minggu itu abah bekerja shif siang. Jadi abah tidak tahu aku telah ponteng kelas beberapa hari. Namun setelah abah mengetahuinya abah memaksa aku ke kelas juga. Sedangkan aku sangat takut pada cikgu ganti itu.
                Pada hari seterusnya aku tetap tidak ke kelas. Petang itu, setelah abah pulang dari kerja abah telah menunggu aku di hadapan pintu rumah. Sebaik sahaja abah Nampak kelibat aku abah terus bertanya, “hari ni pi tadika dak?” Aku yang ketakutan dan menggigil terus lari menuju ke tempat mak sedang membuat kuih. Dulu sebelum mak jatuh sakit mak aktif mengambil tempahan kuih untuk kenduri kahwin dan lain-lain. Terdapat satu bangunan yang di bina oleh pihak Jabatan Pertanian untuk membuat kuih. Bangunan itu terletak lebih kurang 200 meter sahaja dari rumah. Ke situlah aku berlari dan mendapatkan mak. Mak bertanya padaku apa yang berlaku. Aku pun cerita apa yang berlaku. Mak pun berkata, “tu la, tadi mak suruh pi tadika ee tak mau, kan abah dah marah. Kalau takut sangat nak jumpa abah nanti balik dengan mak masa abah p masjid nanti.” Aku pun tunggu sehingga mak selesai menyiapkan kuih dan pulang ke rumah. Memang ketika aku sampai di rumah abah keluar ke masjid. Supaya tidak memanjangkan cerita, aku terus mandi dan tidur. Sebenarnya pada masa abah pulang dari masjid aku belum terlena dan aku dengar abah berkata, “selamat dah tidoq, kalau dak memang dah kena. Esok kalau tak pi tadika jugak memang nak kena.” Aku yang dengar abah berkata tu terus diam dan buat-buat tidur.
                Keesokkannya walaupun dalam keadaan takut aku terpaksa ke tadika juga kerana aku lebih takutkan abah. Mak menemani aku pada hari itu. Hampir sahaja ke tadika aku menghentikan langkahan. Mak pun bertanya, “ni awat yang berhenti ni? Nak kena marah dengan abah balik nanti? Aku tidak terus menjawab. Sebenarnya terdapat dua sebab kenapa aku berhenti. Sebab yang pertama ialah aku takut pada cikgu ganti itu. Sebab yang kedua ialah aku malu untuk jumpa cikgu dan kawan-kawan kerana aku sudah ponteng beberapa hari. Kerisauanku yang pertama meleset apabila cikgu Halimaton telah habis bercuti, ini bermakna cikgu ganti itu telah tiada. Cikgu Halimaton datang memujuk dan akhirnya aku masuk ke kelas jua. Pada hari itu, aku sudah tidak takut lagi pada abah. Apabila abah bertanya aku terus menjawab aku ke kelas hari ini dengan senyuman yang melebar. Oleh kerana peristiwa itu juga, kakak aku sering mengejek aku..budak malas pergi sekolah. Aku tidak kisah kerana perkara itu telah lama berlalu dan aku tidak malas lagi.
                Mesti pelik apabila aku menyebut tentang kakak kerana sebelum ini aku pernah menyebut aku mempunyai lima orang adik beradik dan semuanya lelaki. Sebenarnya kakak telah di ambil oleh mak dan abah ketika mereka di Kelantan sebagai anak angkat. Pada masa itu umur kakak baru 6 tahun. Mak dan abah telah menjaganya sehingga dewasa. Sekarang kakak telah pun berkahwin dan mempunyai seorang anak.

~kisah anak manja~


3
Kisah ‘Anak manja’

                Dulu masa kecil aku merupakan anak yang paling manja dalam keluarga walaupun aku masih mempunyai seorang lagi adik. Umur kami adik beradik tidaklah berjarak terlalu jauh. Aku masih ingat dulu aku langsung tidak boleh berpisah dengan mak. Ke mana sahaja mak pergi aku mesti ikut. Mak ke kenduri kahwin aku ikut, mak ke kedai aku ikut dan macam-macam lagi. Apabila aku perlu berengang dengan mak aku mesti akan menangis meraung-raung kerana taidak mahu berpisah dengan mak. Pernah suatu ketika, mak perlu ke satu kursus anjuran Jabatan Pertanian. Kursus tersebut berlangsung selama beberapa hari dan tempatnya aku tidak pasti tetapi yang pastinya mak  tidak akan berada di rumah dalam beberapa hari. Mahu di jadikan cerita, pada masa mak hendak keluar rumah aku menangis kerana hendak mengikut mak. Aku menarik-narik  basikal yang mak tunggang. Pada masa itu, kawan-kawan mak dan jiran-jiran melihat perlakuan aku tetapi masa itu masih kecil apa yang hendak di hiraukan dengan orang sekeliling. Jadi terpaksalah abah memujuk aku supaya aku tidak menangis dan mahu mengikut mak lagi. Sepanjang mak berkursus abah terpaksa membelikan aku mainan setiap hari. Kalau beli untuk aku mesti belikan untuk adik sekali. Kesian abah. Antara permainan yang masih aku ingat yang abah belikan ialah set pistol mainan.
                Walaupun kisah itu telah berlalu berbelas tahun yang lalu itulah kenangan yang aku tidak dapat lupakan. Tidak di sangka rupanya jiran aku yang ada masa kejadian itu dulu masih mengingatinya. Aku jadi malu sendiri apabila baru-baru ini jiranku itu bertanya hal itu. Sekadar imbauan kisah lama  bukan bererti menyakitkan hati. Banyak lagi kisah pada masa kecil aku walaupun banyak yang aku tidak ingat. Antara kisah yang aku paling tidak dapat lupakan sampai hari ini ialah kisah aku dengan adik terperangkap dalam tong sampah besar. Ceritanya begini… dulu kawasan rumah aku memang tiada jalan tar yang berturap. Jadi pada satu ketika mungkin pihak kerajaan ingin menaik taraf jalan di kampungku. Oleh kerana keterujaan aku untuk melihat orang menurap jalan, aku telah mengajak adik melihat sekali. Aku tidak ingat umur berapa aku pada masa itu. Mungkin belum bersekolah lagi. Semasa kerja-kerja menurap sedang di lakukan, pekerja-pekerja itu mengarahkan supaya kanak-kanak seperti kami menjauhi kawasan tersebut kerana sangat bahaya. Namun tiada jalan keluar untuk kami pulang ke rumah kerana telah banyak lori-lori dan jenntera yang terdapat di situ. Jadi, aki dan adik pun bersembunyi di dalam tong sampah besar. Tong sampah itu berada dalam keadaan terbalik. Kami Cuma bercangkung di dalam tong sampah itu dan takut hendak keluar sehinggalah mak datang mencari kami. Mak merupakan penyelamat kami sebab itu aku sayang mak.
                Kisah lain ketika aku masih kecil ialah kisah takut pada lembu. Bunyi macam kelakar tapi itulah hakikatnya. Aku sangat takut pada lembu pada masa aku kecil. Bagi aku lembu itu merupakan seekor raksasa yang memakan manusia. Tanduknya dan ekornya yang melibas-libas  serta badannya yang besar sangat menakutkan aku. Apabila terserempak dengan makhluk ini aku akan menjadi panik. Apatah lagi aku perlu melintasi sekawanan lembu. Aku akan berfikir panjang dan jika terpaksa melintas juga aku akan berlari dengan sepantasnya. Sebab itulah aku pernah dinobatkan sebagai olahragawan sekolah. Kejadian yang aku tidak dapat lupakan tentang lembu ini ialah pada suatu hari aku berada di rumah jiran sebelah rumah aku. Tiba-tiba sekawanan lembu datang entah dari mana. Aku jadi sangat takut untuk pulang ke rumah sehinggakan jiran aku itu perlu mendukung dan membawa aku pulang ke rumah. Itulah antara kisah yang tidak dapat aku lupakan hingga hari ini.
                Walaupun aku seorang yang manja dalam keluarga namun aku seorang yang degil dan panas baran. Sewaktu kecil aku merupakan penentang tegar abang aku yang sulung. Aku akan meningkah setiap kali dia menyuruh aku membuat sesuatu perkara. Sebagai abang sulung memang dia selalu mempergunakan adik-adiknya. Oleh kerana ketidakadilan itulah yang menyebabkan aku menentangnya. Akibatnya aku sering menjadi mangsa tangan dan kakinya. Hidup dalam lingkungan lima orang adik beradik lelaki memang sering mencetuskan perang dingin. Mak bertindak sebagi pendamai dan sering gagal dan abah lah sebagai diktator untuk menghentikan peperangan tersebut. Sekarang tiada lagi bunyi kami bergaduh dan rumah itu menjadi sunyi kerana masing-masing menetap di tempat lain. Cuma abang yang ke-2 menjadi penghuni tetap rumah itu untuk menjaga mak yang kurang sihat. Semoga abang memperoleh pahala yang besar kerana sanggup melupakan cita-cita demi menjaga seorang mak dan abah.

~kisah 'sang kancil dengan buaya' abah~


2
Kisah ‘Sang kancil dengan buaya’ abah

Dulu masa kami kecil abah sering ceritakan tentang kisah sang kancil dengan buaya. Walaupun abah selalu ulang cerita yang sama, kami tidak bosan mendengarnya. Setiap kali abah ingin bercerita abah akan memanggil kami adik beradik. Abah akan berbaring di atas katil. Sambil itu kami akan mengelilingi abah. Ada yang di sebelah kanan, kiri dan duduk atas badan abah pun ada. Setelah semuanya sudah bersedia abah akan memulakan ceritanya…
‘Pada suatu hari sang kancil berjalan-jalan di dalam hutan. Sang kancil berjalan dengan hati yang riang. Binatang-binatang yang terserempak dengan sang kancil akan menegurnya, “Hai, sang kancil. Gembira saja hari ni. Kamu nak ke mana? sapa binatang hutan pada sang kancil. Sang kancil pun membalas, “Aku Cuma berjalan-jalan dalam hutan ini sahaja, bersiar-siar sambil cuci mata.” Balas Sang kancil yang memang terkenal dengan seekor binatang yang cerdik. Setelah itu sang kancil pun meneruskan perjalanannya yang tiada tujuan utama itu. Setelah lama berjalan, sang kancil tiba di sebatang sungai. Sang kancil ingin menyeberangi sungai tersebut tetapi malang baginya tiada titi untuk dia menyeberangi sungai tersebut. Sang kancil kelihatan kecewa. Namun otak cerdiknya terus mendapat idea untuk menyeberangi sungai tersebut. Sang kancil tahu bahawa sungai tersebut di diami oleh sang buaya. Buaya-buaya yang tinggal dalam sungai tersebut sangat ganas tetapi dengan kebijaksanaan sang kancil, dia cuba untuk meminta bantuan sang buaya untuk dia menyeberangi sungai tersebut.
Tanpa membuang masa sang kancil terus memanggil buaya yang tinggal di dalam sungai itu.. ‘Wahai sang buaya yang baik hati, timbullah kamu kerana aku ingin berbicara denganmu.’ Laung sang kancil memanggil sang buaya. Lalu timbullah seekor buaya yang sangat besar pada permukaan air sungai itu. Sang buaya itu terus berkata, ‘Wahai sang kancil yang bijaksana, berbicaralah kamu  dan jangan membuang masa aku kerana aku masih mempunyai banyak kerja lain yang perlu aku selesaikan.’ Sang kancil terus berkata.. ‘sebenarnya begini, pada hari ini aku telah menerima undangan kenduri oleh bapa saudaraku yang tinggal di seberang sungai ini. Tetapi malangnya bagiku kerana titi untuk menyeberangi sungai ini telah runtuh akibat hujan lebat yang melanda rimba ini semalam. Jadi aku ingin meminta jasa baik kamu wahai sang buaya untuk aku menyeberangi sungai ini.” Sang buaya tertanya-tanya bagaimana dia boleh membantu sang kancil untuk menyebarangi sungai tersebut. Sang kancil pun menjawab, “Aku akan berdiri di belakangmu dan kau akan membawa aku ke seberang.” Jadi selesailah masalah sang kancil untuk menyeberangi sungai tersebut. Itulah kebijaksanaan sang kancil yang pandai memanipulasikan keadaan untuk kepentingan dirinya. Tamat cerita abah setakat itu.
Sebenarnya banyak lagi cerita-cerita yang abah selalu ceritakan pada kami. Tapi cukuplah sekadar satu aku ceritakan di sini. Satu tabiat abah yang selalu abah buat masa kami kecil ialah meniru gaya seorang tukang gunting rambut. Masa kami tidur di atas katil, abah akan baring di sebelah dan menggunting rambut kami menggunakan mesin memotong rambut (sebenarnya Cuma tangan abah ja, bukan potong betul-betul). Selepas itu abah akan bertanya, ‘mau minyak ka ayaq?’ abah meniru gaya seorang mamak gunting rambut. Kemudian abah berkata lagi, ‘mau picit ka tamau? Mau korek tarak korek?” korek tu bermaksud korek telinga. Itulah telaah abah masa kami kecil dulu. Sekarang semua itu tiada lagi. Semua kami sudah meningkat usia. Masing-masing sudah membawa haluan masing-masing dan cuma pulang ke kampung apabila mendapat cuti.

~kisah 'hantu' mak~

1
Kisah ‘hantu’ mak

Mak seorang penyayang dan mempunyai sifat keibuan yang sangat tinggi. Mak seorang yang penyabar. Mungkin menjadi seorang isteri kepada seorang askar dan juga menjaga dan mendidik lima orang anak lelaki membuatkan mak betul-betul seorang yang tabah. Mak seorang yang suka bercerita tentang kisah hidupnya. Mak sebelum bernikah dengan abah pernah bekerja kilang di Bagan (kini dikenali sebagai Butterworth). Mak tidak lama bekerja kilang atas beberapa sebab dan mak menetap di kampung mengerjakan sawah kepunyaan nenek. Dulu mak cakap kulit dia cantik sebelum kerja sawah. Banyak orang-orang kampong menegur..`Nah, hang tak sayangka kulit hang tu? Dok bejemoq tengah panaih ja?’ Mak tak cakap apa-apa tapi cuba senyum ja. Sudah lumrah orang kampung apa nak di kisahkan sangat dengan kulit cantik semua tu.
Mak juga selalu cerita tentang dia selalu terserempak dengan ‘hantu’. Alhamdulillah sampai hari ini aku belum pernah terserempak lagi dengan ‘benda’ tu. Mak pernah bercerita masa dia kecil dulu pernah suatu hari dia mahu ke tandas pada waktu malam. Tandas rumah kampong dulu terletak di luar rumah. Memang seram sebab perlu keluar rumah untuk ke tandas. Bayangkanlah mana ada bekalan elektrik masa tu. Semasa mak ke tandas tiada apa-apa yang berlaku tetapi sebaliknya selepas selesai urusan di tandas, sebaik sahaja mak membuka pintu tandas terkejutnya bukan kepalang sebab mak ternampak satu lembaga hitam yang sangat tinggi sedang berdiri di hadapan pintu tandas. Mak Cuma Nampak bahagian kakinya sahaja. Tanpa berfikir panjang dan takut yang melampau, mak terus berlari kencang masuk ke dalam rumah. Cerita hantu mak tak berakhir di situ sahaja tetapi mak juga pernah terserempak dengan ‘tanglung’ (hantu yang berbentuk bebola api terapung-apung). Perkara ini berlaku setelah mak menikah dengan abah. Mak pernah tinggal di rumah tokwan (ayah sebelah abah). Pada satu malam mak cakap tiba-tiba semua lampu dalam rumah tu terpadam. Masa tu belum ada bekalan elektrik. Semua lampu masih menggunakan lampu minyak tanah. Secara tiba-tiba mak ternampak ‘tanglung’ terapung-apung di udara dan menyalakan lampu pelita yang telah terpadam. Mak tidak memberitahu abah tentang perkara ini untuk tidak mahu memanjangkan cerita.
Selain dari cerita hantu galah dan ‘tanglung’,mak juga pernah terserempak dengan benda-benda itu di tempat lain. Ketika mak tinggal di kuarters askar di Sarawak (masa itu abah bertugas di Kuching) mak pernah nampak buaian di taman permainan kanak-kanak terbuai-buai sendiri sedangkan tiada siapa di situ. Apabila ditanyakan kepada penghuni di kuarters tersebut mereka menyatakan bahawa memang taman permainan itu merupakan tapak permainan bagi makhluk yang terhijab oleh mata kasar manusia itu. Di kuarters itu juga mak pernah melihat satu makhluk yang sangat besar di sebalik tangki air di bahagian atas bumbung kuarters. Kejadian itu berlaku ketika hujan lebat yang turun membasahi bumi. Itulah sedikit sebanyak cerita ‘hantu’ yang pernah mak pernah ceritakan kepada kami adik beradik.
Kini mak sudah berganjak usia. Kami adik beradik pun sudah meningkat dewasa. Keceriaan wajah mak sudah tidak seperti dahulu. Kesihatan mak terganggu akibat tekanan darah yang tinggi dan kencing manis. Akibat daripada itu mak telah mengalami strok. Pada peringkat awal serangan strok itu mak telah mengalami kelumpuhan sebelah kiri anggota badan. Tetapi Alhamdulillah setakat hari ini setelah hampir lima tahun keadaan mak beransur pulih. Aku sentiasa mendoakan mak sihat seperti dulu. Aku rindukan senyuman mak yang dulu. Tetapi aku tetap akur dengan ketentuan Tuhan. Setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya. Aku akan menceritakan lebih lanjut tentang strok yang mak alami pada bab yang lain.
               



PROLOG : INI KISAH AKU


PROLOG

Aku…seorang lelaki pemalu, pendiam tetapi tindakanku sukar diduga. Aku boleh menjadi agresif apabila tidak menyenangi sesuatu perkara. Mewarisi sikap panas baran mungkin dari ayah kerana itu yang aku tahu dari sudut pengalaman. Dilahirkn oleh ibuku di hospital pada tarikh keramat pada tahun 1991. Aku membesar dalam keluarga yang sederhana tapi cukup bahagia. Aku mempunyai 5 orang adik beradik. Kesemuanya lelaki. Aku merupakan anak yang ke-4 walaupun yang sebenarnya ke-5. Kenapa begitu? Mak telah kehilangan anak sulungnya yang kelemasan semasa proses kelahiran. Walaupun mak sedih tapi dia tetap redha dengan pemergian anak sulungnya itu walaupun belum sempat menghirup udara di dunia. Semoga anak ini menanti mak dan abah di pintu syurga..insya-Allah.
Kisah hidup ku mungkin tidak seindah insan lain. Kisah hidup seorang lelaki yang sedang mencari nilai sebuah kehidupan. Ini kisah tentang aku…