Kisah
‘hantu’ mak
Mak
seorang penyayang dan mempunyai sifat keibuan yang sangat tinggi. Mak seorang
yang penyabar. Mungkin menjadi seorang isteri kepada seorang askar dan juga
menjaga dan mendidik lima orang anak lelaki membuatkan mak betul-betul seorang
yang tabah. Mak seorang yang suka bercerita tentang kisah hidupnya. Mak sebelum
bernikah dengan abah pernah bekerja kilang di Bagan (kini dikenali sebagai
Butterworth). Mak tidak lama bekerja kilang atas beberapa sebab dan mak menetap
di kampung mengerjakan sawah kepunyaan nenek. Dulu mak cakap kulit dia cantik
sebelum kerja sawah. Banyak orang-orang kampong menegur..`Nah, hang tak
sayangka kulit hang tu? Dok bejemoq tengah panaih ja?’ Mak tak cakap apa-apa
tapi cuba senyum ja. Sudah lumrah orang kampung apa nak di kisahkan sangat
dengan kulit cantik semua tu.
Mak
juga selalu cerita tentang dia selalu terserempak dengan ‘hantu’. Alhamdulillah
sampai hari ini aku belum pernah terserempak lagi dengan ‘benda’ tu. Mak pernah
bercerita masa dia kecil dulu pernah suatu hari dia mahu ke tandas pada waktu
malam. Tandas rumah kampong dulu terletak di luar rumah. Memang seram sebab
perlu keluar rumah untuk ke tandas. Bayangkanlah mana ada bekalan elektrik masa
tu. Semasa mak ke tandas tiada apa-apa yang berlaku tetapi sebaliknya selepas
selesai urusan di tandas, sebaik sahaja mak membuka pintu tandas terkejutnya
bukan kepalang sebab mak ternampak satu lembaga hitam yang sangat tinggi sedang
berdiri di hadapan pintu tandas. Mak Cuma Nampak bahagian kakinya sahaja. Tanpa
berfikir panjang dan takut yang melampau, mak terus berlari kencang masuk ke
dalam rumah. Cerita hantu mak tak berakhir di situ sahaja tetapi mak juga
pernah terserempak dengan ‘tanglung’ (hantu yang berbentuk bebola api
terapung-apung). Perkara ini berlaku setelah mak menikah dengan abah. Mak
pernah tinggal di rumah tokwan (ayah sebelah abah). Pada satu malam mak cakap
tiba-tiba semua lampu dalam rumah tu terpadam. Masa tu belum ada bekalan
elektrik. Semua lampu masih menggunakan lampu minyak tanah. Secara tiba-tiba
mak ternampak ‘tanglung’ terapung-apung di udara dan menyalakan lampu pelita
yang telah terpadam. Mak tidak memberitahu abah tentang perkara ini untuk tidak
mahu memanjangkan cerita.
Selain
dari cerita hantu galah dan ‘tanglung’,mak juga pernah terserempak dengan
benda-benda itu di tempat lain. Ketika mak tinggal di kuarters askar di Sarawak
(masa itu abah bertugas di Kuching) mak pernah nampak buaian di taman permainan
kanak-kanak terbuai-buai sendiri sedangkan tiada siapa di situ. Apabila ditanyakan
kepada penghuni di kuarters tersebut mereka menyatakan bahawa memang taman
permainan itu merupakan tapak permainan bagi makhluk yang terhijab oleh mata
kasar manusia itu. Di kuarters itu juga mak pernah melihat satu makhluk yang
sangat besar di sebalik tangki air di bahagian atas bumbung kuarters. Kejadian
itu berlaku ketika hujan lebat yang turun membasahi bumi. Itulah sedikit
sebanyak cerita ‘hantu’ yang pernah mak pernah ceritakan kepada kami adik
beradik.
Kini
mak sudah berganjak usia. Kami adik beradik pun sudah meningkat dewasa.
Keceriaan wajah mak sudah tidak seperti dahulu. Kesihatan mak terganggu akibat
tekanan darah yang tinggi dan kencing manis. Akibat daripada itu mak telah
mengalami strok. Pada peringkat awal serangan strok itu mak telah mengalami
kelumpuhan sebelah kiri anggota badan. Tetapi Alhamdulillah setakat hari ini
setelah hampir lima tahun keadaan mak beransur pulih. Aku sentiasa mendoakan
mak sihat seperti dulu. Aku rindukan senyuman mak yang dulu. Tetapi aku tetap
akur dengan ketentuan Tuhan. Setiap yang berlaku pasti ada hikmah di
sebaliknya. Aku akan menceritakan lebih lanjut tentang strok yang mak alami
pada bab yang lain.
No comments:
Post a Comment