Hadirnya tanpa kusedari Menggamit kasih cinta bersemi Hadir cinta insan padaku ini Anugerah kurniaan Ilahi Lembut tutur bicaranya Menarik hatiku untuk mendekatinya Kesopanannya memikat di hati Mendamaikan jiwaku yang resah ini Ya Allah Jika dia benar untukku Dekatkanlah hatinya dengan hatiku Jika dia bukan milikku Damaikanlah hatiku Dengan ketentuan-Mu Dialah permata yang dicari Selama ini baru kutemui Tapi ku tak pasti rencana Ilahi Apakah dia kan kumiliki Tidak sekali dinodai nafsu Akan kubatasi dengan syariat-Mu Jika dirinya bukan untukku Redha hatiku dengan ketentuan-Mu Ya Allah Engkaulah tempat kubergantung harapanku Kuharap diriku sentiasa di bawah rahmat-Mu

Monday, December 16, 2013

~kisah tabika kemas~


4
Kisah ‘Tabika kemas’

Dulu.. sejak dari abang sulung sampailah ke adik kami memasuki tabika kemas. Tiada seorang pun di antara kami yang memasuki pra sekolah. Kesemua kami adik beradik memasuki tabika kemas yang sama dan di ajar oleh cikgu yang sama. Biarlah aku namakan cikgu itu sebagai cikgu Halimaton sahaja. Cikgu Halimaton merupakan seorang cikgu yang baik dan penyayang. Seingat aku uniform tabika aku dulu berwarna merah dan rasanya sekarang sudah bertukar warna biru. Tukang masak bagi tabika kemas itu bernama Che Mah (bukan nama sebenar). Aku tidak pasti di mana cikgu Halimaton sekarang. Semoga cikgu berada dalam keadaan sihat. Che mah merupakan isteri kepada bilal masjid kampung aku, orang memanggilnya pak Yob. Tabika aku cuma bersebelahan dengan masjid. Aku masih ingat lagi permainan-permainan yang terdapat di belakang masjid ketika itu. Tempat itulah menjadi permainan kami budak-budak tabika sewaktu rehat. Antara permainan yang terdapat di situ ialah papan jongket, besi sarang lelabah dan papan gelongsor. Tidak banyak yang aku ingat sewaktu aku tabika dulu. Tetapi satu kisah, satu peristiwa yang aku tidak akan lupa selama-lamanya ialah kisah di marahi cikgu sehingga aku takut untuk ke kelas tabika. Kisahnya begini…
Imbas kembali
Pada satu minggu di tabika, cikgu Halimaton bercuti dan digantikan dengan seorang cikgu yang lain. Aku tidak ingat apa nama dan rupa cikgu itu. Sesungguhnya cikgu itulah telah meninggalkan kisah hitam ini dalam hidupku. Namun sesekali aku tidak pernah mendendami beliau. Sebenarnya aku seorang yang sensitif. Aku mudah tersinggung apabila dimarahi. Pada suatu hari cikgu ganti itu telah memarahi aku. Aku tidak pasti apa sebab sebenar kejadian itu. Kejadian itu menyebabkan aku takut mahu ke kelas. Aku menjadi fobia sementara. Kisah itu tidak berakhir di situ. Apabila aku fobia ke kelas aku telah ponteng kelas beberapa hari. Perkara ini diketahui oleh abah. Pada masa itu abah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di Tikam Batu. Pada minggu itu abah bekerja shif siang. Jadi abah tidak tahu aku telah ponteng kelas beberapa hari. Namun setelah abah mengetahuinya abah memaksa aku ke kelas juga. Sedangkan aku sangat takut pada cikgu ganti itu.
                Pada hari seterusnya aku tetap tidak ke kelas. Petang itu, setelah abah pulang dari kerja abah telah menunggu aku di hadapan pintu rumah. Sebaik sahaja abah Nampak kelibat aku abah terus bertanya, “hari ni pi tadika dak?” Aku yang ketakutan dan menggigil terus lari menuju ke tempat mak sedang membuat kuih. Dulu sebelum mak jatuh sakit mak aktif mengambil tempahan kuih untuk kenduri kahwin dan lain-lain. Terdapat satu bangunan yang di bina oleh pihak Jabatan Pertanian untuk membuat kuih. Bangunan itu terletak lebih kurang 200 meter sahaja dari rumah. Ke situlah aku berlari dan mendapatkan mak. Mak bertanya padaku apa yang berlaku. Aku pun cerita apa yang berlaku. Mak pun berkata, “tu la, tadi mak suruh pi tadika ee tak mau, kan abah dah marah. Kalau takut sangat nak jumpa abah nanti balik dengan mak masa abah p masjid nanti.” Aku pun tunggu sehingga mak selesai menyiapkan kuih dan pulang ke rumah. Memang ketika aku sampai di rumah abah keluar ke masjid. Supaya tidak memanjangkan cerita, aku terus mandi dan tidur. Sebenarnya pada masa abah pulang dari masjid aku belum terlena dan aku dengar abah berkata, “selamat dah tidoq, kalau dak memang dah kena. Esok kalau tak pi tadika jugak memang nak kena.” Aku yang dengar abah berkata tu terus diam dan buat-buat tidur.
                Keesokkannya walaupun dalam keadaan takut aku terpaksa ke tadika juga kerana aku lebih takutkan abah. Mak menemani aku pada hari itu. Hampir sahaja ke tadika aku menghentikan langkahan. Mak pun bertanya, “ni awat yang berhenti ni? Nak kena marah dengan abah balik nanti? Aku tidak terus menjawab. Sebenarnya terdapat dua sebab kenapa aku berhenti. Sebab yang pertama ialah aku takut pada cikgu ganti itu. Sebab yang kedua ialah aku malu untuk jumpa cikgu dan kawan-kawan kerana aku sudah ponteng beberapa hari. Kerisauanku yang pertama meleset apabila cikgu Halimaton telah habis bercuti, ini bermakna cikgu ganti itu telah tiada. Cikgu Halimaton datang memujuk dan akhirnya aku masuk ke kelas jua. Pada hari itu, aku sudah tidak takut lagi pada abah. Apabila abah bertanya aku terus menjawab aku ke kelas hari ini dengan senyuman yang melebar. Oleh kerana peristiwa itu juga, kakak aku sering mengejek aku..budak malas pergi sekolah. Aku tidak kisah kerana perkara itu telah lama berlalu dan aku tidak malas lagi.
                Mesti pelik apabila aku menyebut tentang kakak kerana sebelum ini aku pernah menyebut aku mempunyai lima orang adik beradik dan semuanya lelaki. Sebenarnya kakak telah di ambil oleh mak dan abah ketika mereka di Kelantan sebagai anak angkat. Pada masa itu umur kakak baru 6 tahun. Mak dan abah telah menjaganya sehingga dewasa. Sekarang kakak telah pun berkahwin dan mempunyai seorang anak.

No comments:

Post a Comment